Monday, February 11, 2008

Keluar wang Tabung Haji guna mesin ATM

Tabung Haji akan memperkenalkan sistem pengeluaran wang simpanan melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM), selewat-lewatnya pertengahan tahun ini sebagai satu lagi kemudahan terbaru kepada 4.2 juta pendepositnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail berkata, buat permulaan Tabung Haji bercadang menyediakan kemudahan itu dengan menggunakan rangkaian ATM Bank Islam di seluruh negara.

”Mengikut perancangan, kemudahan itu dapat disediakan menjelang suku kedua tahun ini dengan menggunakan rangkaian ATM di Bank Islam. Lagi pun kita adalah pemegang saham terbesar dalam bank itu.

“Tidak seperti sekarang, para pendeposit perlu datang kaunter di cawangan-cawangan Tabung Haji bagi membuat pengeluaran wang simpanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman kadar dividen bagi tahun 2007 kepada pendeposit Tabung Haji di sini hari ini.
Pengumuman itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.


Berdasarkan statistik, jumlah simpanan pendeposit sehingga 31 Disember tahun lalu adalah sebanyak RM16 bilion.

Pada masa ini, urusan semakan baki dan pengeluaran wang simpanan hanya boleh dibuat di mana-mana kaunter Tabung Haji seluruh Malaysia dengan mengemukakan kad pengenalan dan buku akaun simpanan.

Ismee berkata, buat masa ini pihaknya tidak bercadang menyediakan sistem ATM sendiri kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

Katanya, para pendeposit mungkin dikenakan sedikit caj bagi pengeluaran melalui ATM seperti yang diamalkan oleh semua bank pada masa ini.

toby: hmm... lagi senang la nak keluar duit dari Tabung Haji... ada baik buruknya kan... baik - mudah buat pengeluaran bagi pendeposit yang susah mendapat cuti, buruk - kerap membuat pengeluaran sehinggakan tujuan deposit tidak lagi relevan. Apa kata anda?

Utusan Malaysia - 060208
 

Copyright 2007 ID Media Inc, All Right Reserved. Crafted by Nurudin Jauhari